Friday, 20 June 2014

Kuasa Udara Kuasa Negara - Masa Hadapan TUDM

Oleh Danny Liew Shan Lee
Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 memperlihatkan perlunya sebuah angkatan tentera yang mantap bagi negara baru tersebut bagi menghadapi ancaman anasir dalam dan luar negara.  Bagi mencapai impian ini, cabang perkhidmatan udara diperkenalkan pada 2 Jun 1958, dan dinamakan sebagai Tentera Udara Diraja Persekutuan (nama ini diubah menjadi Tentera Udara Diraja Malaysia, atau singkatannya TUDM,  apabila Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963).
Sebagai cabang perkhidmatan ketenteraan yang termuda dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), TUDM telah melalui perubahan ketara dari segi kekuatan ofensif dan defensif.  Daripada sebuah ketumbukan udara yang hanya memiliki sebuah pesawat pengangkut jenis Twin Pioneer buatan Scottish Aviation, ke sebuah ketumbukan udara yang bersifat sokongan kepada usaha counter-insurgency (COIN) warfare, dan kini, sebuah ketumbukan udara yang mampu melakukan serangan berkejituan tinggi (precision strike). 


Kuasa Udara Kuasa Negara
Pembelian pesawat MRCA generasi ketiga (PEMBETULAN - generasi keempat) dari jenis MiG29N dan F/A18D Hornet merupakan anjakan kuasa yang menjadikan TUDM pasukan tentera udara yang disegani dan digeruni di rantau ini. 
Namun, kedua-dua aset ini sudah menghampiri usia dua dekad dalam perkhidmatan.  Walaupun TUDM telah menerima pesawat SU30MKM, tetapi bilangannya yang rendah (18 unit) menyukarkan TUDM untuk mencapai penguasaan udara mutlak dalam sebarang konflik.  Kegagalan untuk menguasai udara dalam sebarang konflik boleh membawa padah kepada cabang perkhidmatan yang lain.  Contoh terbaik adalah tenggelamnya kapal HMS Prince of Wales dan HMS Repulse di perairan Kuantan di tangan Imperial Japanese Navy Air Service dan serangan udara oleh Amerika Syarikat ke atas kedudukan tentera Iraq semasa Perang Teluk Pertama (1991). 

Ke Arah Kuasa Udara yang Mantap
Dengan keadaan geopolitik di rantau Asia Tenggara yang semakin tidak menentu, TUDM perlu melakarkan strategi untuk memastikan penguasaannya terhadap ruang udara negara tidak tergugat. 

Pemerolehan Sistem Radar Baru
Tragedi kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 pada 8 Mac lalu telah memaksa Malaysia untuk mengambil langkah terdesak untuk mengongsikan data teknikal daripada sistem radar pertahanan udara milik TUDM.  Hasilnya, keupayaan radar pertahanan udara negara yang sepatutnya diklasifikasikan sebagai rahsia besar negara telah diketahui oleh negara luar, salah satu daripadanya mempunyai tuntutan bertindih dengan Malaysia. 
Oleh itu, langkah pertama yang perlu diambil untuk menguasai ruang udara negara adalah mempercepatkan pemerolehan sistem radar pertahanan udara yang baru.

Sistem Amaran Awal
Selain radar pertahanan udara, TUDM perlu mengambil kira keperluan untuk memperoleh sekurang-kurangnya 3 buah pesawat Airborne Early Warning and Control (AEW&C).  Pembelian sistem ini bukan sahaja akan dapat memberi TUDM suatu platform untuk mengesan ancaman lebih awal, malahan TUDM akan dapat menggunakan platform tersebut bagi merencanakan rancangan taktikal udara yang lebih teratur, sekaligus mengukuhkan penguasaan terhadap ruang udara.
Dalam keadaan pengoperasian yang ideal, data link antara pesawat amaran awal dan pesawat penggempur yang ditugaskan untuk menghalang pencerobohan oleh musuh akan membolehkan pesawat penggempur untuk melancarkan serangan lebih awal tanpa perlunya menghidupkan sistem radar aktif dalam pesawat sendiri.

Pengukuhan Keupayaan Peperangan Elektronik TUDM
Apabila memperkatakan perlunya pemerolehan sistem AEW&C, perlu tidak dilupakan juga untuk memastikan sistem yang diperoleh berupaya untuk menangkis serangan elektronik ke atas pesawat TUDM.  Kegagalan untuk menghalang serangan elektronik ke atas pesawat TUDM akan memperlihatkan aset tempur yang sedia ada tidak dapat digunakan secara berkesan untuk menghalang serangan musuh. 
Serangan elektronik, terutamanya jika untuk memutuskan hubungan data link antara pesawat TUDM akan mengkucar-kacirkan pelan pertahanan udara, sekaligus boleh menggagalkan penguasaan TUDM ke atas ruang udara negara.

Pemerolehan Aset Tempur Baru
Seperti dikatakan di awal artikel ini, perkhidmatan kedua-dua pesawat MiG29N dan F/A18D Hornet bakal memasuki dekad kedua.  Oleh itu, adalah afdal untuk merencanakan pemerolehan aset tempur baru untuk kegunaan TUDM.
Dalam membuat pemerolehan baru pesawat MRCA baru, selain daripada kelincahan pesawat, jarak operasi dan keupayaan tempur pesawat, perlu diambil kira dalam pemerolehan ini adalah keupayaan pesawat tersebut untuk “berhubung” dengan pesawat TUDM yang lain dari segi pertukaran data.
Selain keupayaan untuk pesawat-pesawat TUDM untuk “bercakap” antara satu sama lain, pesawat yang bakal diperoleh ini perlu dipastikan tidak menjadi beban atau gangguan kepada sistem TUDM yang lain dan malahan aset milik cabang perkhidmatan ATM yang lain.  Contoh yang boleh digarapkan adalah bagaimana sistem identification friend or foe (IFF) sistem pertahanan udara Rapier milik Tentera British yang tidak dapat berfungsi secara optimum apabila dioperasikan bersama radar pertahanan udara daripada kapal perang Royal Navy semasa Perang Falkland. 

Keupayaan untuk Melakukan SEAD (Suppression of Enemy Air Defence)
Bagi memantapkan keupayaan TUDM dan memastikan kejayaan bagi ATM dalam sebarang konflik bersenjata adalah bagi TUDM untuk memiliki keupayaan untuk melakukan operasi SEAD. 
Walaupun dalam sejarah TUDM belum pernah lagi melakukan operasi SEAD, berdasarkan pengalaman yang ditimba oleh TUDM semasa Op Daulat membuktikan bahawa TUDM bersedia melaksanakan penugasan SEAD dengan pengoperasian peluru berpandu jenis LGB (Laser Guided Bomb) bersama dengan GLTD (Ground Laser Targeting Device) yang dioperasikan oleh Pasukan Khas Udara (Paskhau).

Payung Pertahanan Udara Berlapis
Dalam merencanakan pertahanan negara, amat penting untuk membuat andaian bahawa musuh yang bakal dihadapi adalah jauh lebih kuat daripada kekuatan kita dan berupaya untuk memusnahkan keseluruhan ketumbukan udara TUDM. 
Kemusnahan keseluruhan ketumbukan udara TUDM merupakan sesuatu yang amat sukar dibayangkan, tetapi dalam situasi peperangan, kita perlu bersedia menerima andaian yang paling teruk boleh berlaku. 
Sekiranya ketumbukan udara TUDM dimusnahkan oleh musuh, TUDM perlu mempunyai keupayaan untuk memastikan bahawa ATM masih berupaya untuk menguasai ruang angkasa negara melalui penyediaan paying pertahanan udara berlapis (PPUB).
Ketika ini, payung pertahanan udara negara dikendalikan oleh Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) yang bernaung di bawah Rejimen Artileri Diraja.
Mungkin adalah afdal sekiranya TUDM juga mengembangkan sayap ke arah pemilikan sistem pertahanan udara sendiri. 
Aset pertahanan udara yang sedia ada pula sekadar terdiri daripada sistem jenis VSHORAD (Very Short Range Air Defence) dan SHORAD (Short Range Air Defence).  Pemilikan aset ini sahaja tidak cukup dan sekadar memberi ATM keupayaan untuk melakukan point defence sahaja. 
Dalam memperkatakan PPUB, adalah afdal sekiranya TUDM mengkaji bagaimana Angkatan Tentera Syria menyediakan payung pertahanan udaranya sehinggakan tentera udara Amerika Syarikat dan NATO tidak berupaya memberi bantuan serangan udara (CAS – close air support) kepada Free Syria Army (FSA) sebagaimana mereka pernah memberi bantuan kepada Free Libya Army (FLA) yang digunakan untuk menumbangkan bekas diktator Libya, Kol Muammar Gaddafi.
Keupayaan PPUB Tentera Syria bukan sahaja berjaya menggagalkan serangan udara oleh NATO, malahan telah berjaya menembak jatuh beberapa buah pesawat tentera udara Turki yang dikatakan telah menceroboh masuk ke dalam ruang udara Syria (Tentera Udara Turki menafikan bahawa mereka telah menceroboh masuk ke dalam ruang udara Syria).
Selain keupayaan Tentera Syria dalam menyediakan PPUBnya, perlu dikaji juga keupayaan pertahanan udara puak Serb Bosnia semasa Perang Balkan.  Keupayaan puak Serb Bosnia amat menarik kerana berjaya menembak jatuh 2 buah pesawat “stealth” dari jenis F117 Night Hawk.  Selain pesawat F117, beberapa buah pesawat lain, dari F16 Falcon dan Mirage turut berjaya dimusnahkan oleh pasukan pertahanan udara puak Serb Bosnia. 
Pengajaran yang berharga daripada pengalaman yang dilalui oleh puak Serb Bosnia dan tentera kerajaan Syria ini perlu diterapkan ke dalam ATM secara amnya dan TUDM secara khususnya agar kita boleh merencanakan PPUB sendiri yang mantap.

Keupayaan CSAR Pemangkin Semangat Gempur Wira
Sekadar memiliki aset perang sahaja belum cukup untuk memastikan kejayaan di medan perang.  TUDM juga memerlukan ketumbukan helikopter CSAR (Combat Search and Rescue) yang ampuh bersama dengan pasukan penyelamat tempur bagi meyakinkan para juruterbang TUDM bahawa sekiranya mereka ditembak jatuh di belakang kawasan musuh, akan terdapat pasukan sahabat yang akan bertungkus lumus menyelamatkan mereka.  Sekaligus, akan meningkatkan keyakinan mereka untuk melaksanakan tugas mereka walaupun berhadapan dengan bahaya.

Kesimpulan

TUDM hari ini merupakan suatu angkatan udara yang ampuh.  Tetapi kekangan dalam belanjawan membawa kepada pembelian aset untuk ATM dan khususnya TUDM terpaksa ditangguhkan.  Namun begitu, sejarah telah membuktikan bahawa negara yang memiliki angkatan udara yang ampuh dan secara konsisten sepanjang sesebuah konflik yang akan memenangi peperangan.  Britain telah membuktikannya semasa Battle of Britain, menumpaskan Luftwaffe di ruang udara Britain, dan kemudiannya dengan Amerika Syarikat, merampas kembali benua Eropah daripada Jerman Nazi.  Mahu tidak mahu, kerajaan perlu membuka semula buku cek untuk memperoleh aset pertahanan untuk TUDM demi kesinambungan kedaulatan negara.

EPILOGUE
Artikel ini telah diserahkan sebagai artikel penyertaan dalam pertandingan menulis esei Hari TUDM dengan bertema "Kuasa Udara Kuasa Negara".  Penyertaan ini hanya mendapat saguhati sahaja, namun memadai kerana telah dapat menyampaikan pesanan dan pandangan saya sebagai rakyat Malaysia yang ingin melihat kedaulatan negara kekal terpelihara.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...