Sunday, 15 December 2013

Serangan Dron Hanya Melahirkan Lebih Banyak Musuh Buat Amerika Syarikat

 Oleh Yusni Yussof

Dron Predator melancarkan misil! ( Kredit foto kepada General Atomics Aeronautical system Inc. )




Serangan terbaru  dron milik Amerika Syarikat di Yaman pada 13 Disember lalu telah mengakibatkan kematian 14 orang awam dan 22 orang yang lain tercedera. Lebih malang, serangan tersebut dilancarkan ke atas konvoi  kenderaan-kenderaan yang  sedang meraikan perkahwinan penduduk tempatan. Di dalam insiden tersebut, 2 orang pemimpin puak yang berpengaruh turut terkorban.Penganalisis berpendapat bahawa insiden-insiden sebegini yang begitu banyak dilaporkan semenjak AS menggiatkan usaha membunuh individu-individu yang dikaitkan dengan al Qaeda hanya  menimbulkan kemarahan dan kebencian terhadap AS, sekaligus melahirkan simpati terhadap perjuangan al Qaeda. 




Ternyata pada hari ini, AS benar-benar memanfaatkan teknologi dron dalam memerangi ancaman keganasan ke atasnya. Hal ini dapat dilihat daripada kekerapan penggunaan dron itu sendiri; ketika menyerang Iraq pada 2003, jumlah dron yang digunakan adalah kecil, sebaliknya pada hari ini AS telah menggunakan lebih 19 000 dron bagi menjalankan pelbagai misi bersifat ketenteraan dan pengintipan. 


Sehingga kini, jumlah sebenar korban serangan dron masih belum diketengahkan. Namun begitu, Senator Lindsey Graham  pada Februari lalu telah menyatakan bahawa jumlah mereka yang terkorban ekoran serangan dron adalah berjumlah 4700 orang. Walaupun tidak dapat disahkan, mungkinkah jumlah ini menghampiri perangkaan sebenar memandangkan beliau merupakan seorang senator AS yang memiliki sumber-sumber yang kredibel di dalam pentadbiran kerajaan AS. Sekiranya jumlah ini berstatus ‘ hampir tepat’ sekalipun, maka suatu langkah pengawalan perlu dilakukan bagi mengekang tindakan AS melancarkan serangan dron sebegini. 


Presiden Barack Obama ketika menyampaikan ucapan beliau di National Defense University  pada 23 Mei lalu telah menghuraikan secara panjang lebar tentang penggunaan dron ini di dalam misi-misi menumpaskan pengganas. Obama menjustifikasikan  serangan-serangan dron ini sebagai tindakan yang efektif dan membuahkan hasil. Menurut beliau, “ To begin with, our actions are effective.  Don’t take my word for it.  In the intelligence gathered at bin Laden’s compound, we found that he wrote, “We could lose the reserves to enemy’s air strikes.  We cannot fight air strikes with explosives.”  Other communications from al Qaeda operatives confirm this as well.  Dozens of highly skilled al Qaeda commanders, trainers, bomb makers and operatives have been taken off the battlefield.  Plots have been disrupted that would have targeted international aviation, U.S. transit systems, European cities and our troops in Afghanistan.  Simply put, these strikes have saved lives,”


Berdasarkan ucapan Obama ini, ternyata AS akan terus melancarkan serangan dron sebegini bagi melumpuhkan gerak kerja al Qaeda.  Namun begitu, adakah serangan dron sebegini hanya akan melahirkan lebih ramai penentang-penentang daripada penyokong AS dalam usaha negara tersebut memerangi keganasan?


Sebagai satu reaksi, al Qaeda telah mengeluarkan kenyataan rasmi mereka terhadap kecenderungan AS menggunakan dron. Menerusi laman web Voice of Jihad (http://shahamat-english.com/index.php/articles/39962-report-a-reflection-on-the-american-drone-war-strategy ), Al Qaeda menempelak strategi penggunaan dron ini sebagai satu kegagalan Presiden Obama dalam menumpaskan  Mujahideen di  Afghanistan. AS terpaksa bergantung kepada penggunaan dron akibat menyedari bahawa AS tidak mampu untuk memenangi peperangan jangka masa panjang dengan pejuang-pejuang Al Qaeda. Terlalu banyak sumber yang perlu digunakan untuk memastikan AS tetap mampu untuk berperang secara konvensional menentang rangkaian Al Qaeda dan Taliban, dan peperangan yang berlanjutan menyebabkan AS mengalami korban nyawa dan semakin lumpuh daripada segi kewangan. Selain itu, sokongan domestik terhadap misi ketenteraan AS juga semakin lemah. Langkah terbaik, murah dan menguntungkan pentadbiran Obama dalam konteks publisiti adalah dengan menggunkan dron untuk berperang!


Laman web tersebut mengatakan bahawa penggunaan dron tidak mampu untuk melumpuhkan al Qaeda, kerana rangkaian tersebut kini mengubah strategi dengan mengeluarkan pemimpin-pemimpin penting daripada lapangan untuk mengelak daripada menjadi sasaran dron. Selain itu, al Qaeda optimis  bahawa dalam jangka masa panjang, serangan dron ini hanya akan menimbulkan kebencian dan kemarahan terhadap AS.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...