Oleh : Yusni Yussof
Sehingga kini, bekas Diplomat Malaysia, Muhammad
Rizalman Ismail masih lagi menerima rawatan di negara dan belum ada tarikh yang
jelas bilakah beliau akan dihantar pulang ke New Zealand bagi menghadapi
pertuduhan jenayah ke atas beliau. Situasi beliau adalah bersifat unprecedented, kerana ini adalah kali
pertama di dalam sejarah negara seorang Diplomat negara berhadapan dengan situasi sedemikian.
Dalam menghadapi situasi ini, jelas kerajaan
Malaysia sedang menimbangkan apakah bentuk tindakan yang paling tepat dan
mempunyai nilai strategik kepada hubungan diplomatik yang terjalin antara
Malaysia dan New Zealand. Sudah pasti wujud tekanan dari dalam negara,
lebih-lebih lagi daripada New Zealand sendiri untuk memastikan keadilan dapat
dilaksanakan.
Dalam konteks hubungan Diplomatik yang terjalin
antara Malaysia dan New Zealand, secara amnya Rizalman, sebagai seorang yang
dikategorikan sebagai Diplomat, mempunyai imuniti diplomatik ( diplomatic immunity) yang memberikan
beliau perlindungan daripada sebarang bentuk bidang kuasa jenayah terhadap
beliau oleh New Zealand. Perlindungan ini diberi dan dijamin menerusi Artikel
31 Vienna
Convention on Diplomatic Relations yang merupakan peraturan yang mengawal
hubungan diplomatik antara negara-negara di dunia, khususnya dalam pewujudan
sebuah kedutaan, perlantikan petugas-petugas kedutaan di sesebuah negara
penerima ( receiving state).
Walau bagaimanapun, dokumen undang-undang yang
sama turut memberikan hak kepada Malaysia untuk mengenepikan kekebalan dan imuniti diplomatik yang dinikmati
oleh Diplomat menerusi Artikel 32.