Tuesday 8 July 2014

Imuniti Diplomatik dalam Pertimbangan Hubungan Diplomatik Malaysia-New Zealand


Oleh : Yusni Yussof

Sehingga kini, bekas Diplomat Malaysia, Muhammad Rizalman Ismail masih lagi menerima rawatan di negara dan belum ada tarikh yang jelas bilakah beliau akan dihantar pulang ke New Zealand bagi menghadapi pertuduhan jenayah ke atas beliau. Situasi beliau adalah bersifat unprecedented, kerana ini adalah kali pertama di dalam sejarah negara seorang Diplomat  negara berhadapan dengan situasi sedemikian.
Dalam menghadapi situasi ini, jelas kerajaan Malaysia sedang menimbangkan apakah bentuk tindakan yang paling tepat dan mempunyai nilai strategik kepada hubungan diplomatik yang terjalin antara Malaysia dan New Zealand. Sudah pasti wujud tekanan dari dalam negara, lebih-lebih lagi daripada New Zealand sendiri untuk memastikan keadilan dapat dilaksanakan.
Dalam konteks hubungan Diplomatik yang terjalin antara Malaysia dan New Zealand, secara amnya Rizalman, sebagai seorang yang dikategorikan sebagai Diplomat, mempunyai imuniti diplomatik ( diplomatic immunity) yang memberikan beliau perlindungan daripada sebarang bentuk bidang kuasa jenayah terhadap beliau oleh New Zealand. Perlindungan ini diberi dan dijamin menerusi Artikel 31  Vienna Convention on Diplomatic Relations yang merupakan peraturan yang mengawal hubungan diplomatik antara negara-negara di dunia, khususnya dalam pewujudan sebuah kedutaan, perlantikan petugas-petugas kedutaan di sesebuah negara penerima ( receiving state).
Walau bagaimanapun, dokumen undang-undang yang sama turut memberikan hak kepada Malaysia untuk mengenepikan  kekebalan dan imuniti diplomatik yang dinikmati oleh Diplomat menerusi Artikel 32. 

 

Adalah jelas berdasarkan peruntukan-peruntukan ini, faktor kesan jangka masa panjang dan nilai strategik akan memainkan peranan kepada Malaysia dalam menghadapi situasi ini. Walaupun negara mempunyai hak untuk mengguna pakai imuniti diplomatik, tetapi pendekatan tersebut berisiko untuk merugikan negara dalam jangka masa panjang. Selain itu, di mata media antarabangsa, pendekatan ini juga pastinya mengundang kritikan dan kecaman.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin  Hussein mengulas bahawa Kabinet telah memutuskan bahawa Rizalman akan dihantar kembali ke New Zealand bagi membantu siasatan pihak berkuasa tempatan terhadap kes beliau. Dalam konteks hubungan diplomatik jangka masa panjang, tindakan ini boleh dilihat sebagai satu good will dan sikap objektif kerajaan dalam menghadapi situasi ini. Walaupun kerajaan memutuskan untuk mengenepikan imuniti diplomatik Rizalman di New Zealand, tetapi kita perlu optimis bahawa Rizalman akan dibicarakan mengikut lunas undang-undang di negara tersebut.
Dalam konteks perundangan jenayah, seseorang tertuduh adalah berstatus ‘ Tidak Bersalah Melainkan Dibuktikan Sebaliknya’, atau innocent until proven guilty. Beban pembuktian bagi kes-kes jenayah juga adalah tinggi, iaitu sabitan pertuduhan hanya akan berlaku apabila mahkamah, setelah mendengar keterangan dan melihat kepada bukti-bukti yang wujud,  mendapati seseorang itu bersalah melampaui keraguan munasabah ( guilty beyond reasonable doubt).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...